1. Bayi anda perlukan makanan
(*)Bayi yang lebih kecil berpotensi menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar lalu menangis.
(*)Jika bayi anda menangis waktu malam, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia memerlukan benda lain.
2. Bayi anda perlukan keselesaan
(*)Jangan berikan bayi anda memakai baju yang terlalu ketat dan rajinkanlah diri anda untuk selalu periksa lampin mereka. Boleh jadi bayi anda menangis kerana lampin yang penuh dan kotor menyebabkan mereka kurang selesa. Lampin yang kotor akan menyebabkan kulit mereka gatal. Agaknya sebab itulah anak anda menangis. Buatlah anak anda selesa sebaik mungkin.
3. Bayi anda perlukan sesuatu yang membuat dirinya rasa lebih sihat
(*)Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring. Sekiranya bayi anda mula diam, walaupun dia sering menangis pada waktu malam,ini mungkin petanda bahawa si manja anda kurang sihat. Jika anda rasa bayi anda ada masalah tertentu, segeralah berjumpa dengan doktor anda.
4. Bayi anda perlu dipeluk
(*)Sebagai bayi,mereka sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Apatah lagi, pelukan ibu akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara si ibu dan anak. Bayi yang baru lahir lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa manakala bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda atau mendengar suara anda.
5. Bayi anda perlu kehangatan – tidak terlalu panas atau terlalu sejuk
(*)Satu petua yang mudah untuk si ibu ialah dengan mengingati yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa selesa. Namun, berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia berasa panas.
(*)Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan cara menyentuh perutnya: jika bayi anda terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan hanya berpandu pada suhu tangan atau kakinya kerana adalah normal bagi kaki dan tangan bayi terasa agak sejuk.
6. Bayi anda mengalami kembung perut
(*)Biasanya kembung perut ini berlaku ke atas anak lelaki, kerana kadangkala dia akan terkena angin pasang. Gejalanya ialah perut keras, pusat membonjol, kadang-kadang mata tengok ke atas.
7. Bayi anda perlukan rehat
(*)Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Malah, ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma.
(*)Bayi baru lahir akan menjadi gelisah apabila terlampau banyak rangsangan seperti cahaya lampu,bunyi bising kerana pada ketika itu dia masih sukar menguruskan rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa.
Bagaimana hendak menenangkan bayi yang menangis?
(*)Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Antaranya adalah:
Bedung Dan Peluk
(*)Ternyata membendung bayi dan memeluk erat anak anda memberikan satu perasaan yang menenangkan kepada ibu bapa. Apatah lagi kelakuan itu menimbulkan perasaan kasih sayang yang teramat pada permata hati anda. Oleh itu,sekiranya bayi anda menangis pada waktu malam,bedunglah dia dan peluk dengan kuat supaya dia berasa selamat bersama anda.
Urut badan
(*)Jika anda nampak bayi anda seperti dalam kesakitan akibat angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya.
Biarkan dia menghisap sesuatu
(*)Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari atau ibu jari boleh mendatangkan memberi ketenangan.
Buai-buaikan bayi
(*)Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan oleh itu anda bolehlah menenangkan bayi anda sekiranya dia menangis pada waktu malam samada dengan cara mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang., malah anda boleh menggunakan buaian bayi yang khas atau kain gendong tradisional boleh juga menenangkan bayi anda.
Info Ekstra!
Gangguan Makhluk Halus
Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa dikenali sebagai sawan tangis, akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Ia dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.
Tanda-tanda bayi terkena gangguan makhluk halus:
(*)Ada beberapa tanda yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan makhluk halus iaitu:
(*)1. Kanak-kanak ini kadang-kadang akan berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan kiri.
(*)2. Tangisan akibat gangguan selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan.
(*)3. Dahi atau bahagian tengah, antara dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut yang sedang memerhatikan sesuatu.
(*)4. Mereka akan menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Setelah puas menangis, ,si bayi akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.
Cara elak gangguan makhluk halus:
(*)Bacakan surah al-Fatihah, ayat Al-Kursi, surah An-Nas dan surah Al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak 3 kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun 3 kali.
Kesimpulan
(*)Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Penting bagi anda dan pasangan mengetahui apa yang cuba disampaikan oleh bayi anda. Tanpa memahaminya sudah pasti anda tidak mengetahui apa yang seharusnya anda dan pasangan lakukan untuk menenangkannya.
EmoticonEmoticon