Tuesday, 26 April 2016

Mesti Pergi! Selami Keindahan Pulau Pangkor Yang Cukup Tenang Dan Mendamaikan

Tags


(*)Biarpun tidak luas,Pulau Pangkor tetap memiliki keindahan tersendiri dan sukar diterjemahkan dengan kata-kata.


(*)Terletak di Pantai Barat Semenanjung iaitu di negeri Perak Darul Ridzuan, merupakan pusat pelancongan utama di negeri Perak dan juga popular di Malaysia.

(*)Pulau Pangkor memiliki kekayaan alam semulajadi, bukan sekadar hutannya yang kaya dengan flora dan fauna. Malahan, pulau ini juga kaya dengan dasar laut seperti hidupan laut yang eksotik dan unik.

(*)Macam Mana Hendak Ke Pulau Pangkor?

(*)Sekiranya anda datang dari Kuala Lumpur,anda boleh menggunakan lebuhraya PLUS seterusnya ke Lumut. Terdapat juga perkhidmatan bas ekspres KL-Lumut-KL sepanjang hari sekiranya anda tidak mahu memandu. Dari Lumut anda akan menaiki feri ke Jeti Pangkor. Anda juga boleh menaiki penerbangan Berjaya Air terus dari Kuala Lumpur untuk mendarat di Teluk Dalam.

(*)Terdapat dua jeti untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor iaitu jeti Lumut dan jeti Marina. Perjalanan feri dari jeti Lumut memakan masa kira-kira 45 minit, manakala hanya 15 minit dari jeti Marina. Parking kereta turut disediakan sekiranya anda menaiki kereta daripada rumah. Bayarannya adalah RM10/per entry untuk tempat parking khas manakala di tempat parking lain anda bolehlah membeli kupon parking dengan bayaran RM3 /per 5jam.

(*)Harga Tiket Menaiki Feri ke Pulau Pangkor?

(*)Tiket untuk menaiki feri di Jeti Lumut ialah RM10 untuk dewasa manakala untuk kanak-kanak hanya RM5 sahaja. Harga tiket ini adalah untuk perjalanan dua hala, pergi dan balik. Anda dinasihatkan untuk menyimpan tiket tersebut untuk digunakan apabila balik nanti. Untuk setiap 30 minit feri akan menunggu penumpang,oleh itu tidak perlu anda terkejar-kejar menaiki feri.

(*)Sepanjang perjalanan, anda boleh melihat pemandangan yang cukup mendamaikan di sekitar perairan antara Jeti Lumut ke Pulau Pangkor. Sebelum sampai ke jeti Pulau Pangkor, feri akan berhenti seketika untuk menurunkan dan mengambil penumpang lain.

(*)Pengangkutan Di Pulau Pangkor

(*)Setibanya di Jeti Pulau Pangkor, banyak kenderaan yang sudah sedia menanti membawa penumpang seperti teksi ‘van pink’. Van ini boleh memuatkan sehingga lapan  orang penumpang.

(*)Kadar bayaran yang dikenakan adalah RM80/sebuah van sekiranya anda mahu pusing-pusing ke seluruh pulau. Untuk ke Pasir Bogak kadar bayaran dikenakan hanya RM10.00/sebuah van untuk sehala. Manakala untuk ke Teluk Nipah RM20/sebuah van untuk sehala. Anda tak perlu risau untuk balik semula ke jeti ini kerana teksi mudah didapati di mana-mana sahaja di sekitar Pulau Pangkor.

(*)Jika anda mahu menyewa kereta, motor dan basikal,di sini juga terdapat perkhidmatan menyewa kereta,motor dan juga basikal. Untuk menyewa kereta,kadar sewa yang dikenakan adalah sekitar RM80/sebuah manakala motosikal RM30/sebuah.



(*)Tempat Menarik Di Pulau Pangkor

(*)Kota Belanda
(*)Antara tempat menarik di Pulau Pangkor ini adalah Kota Belanda. Kota ini terletak di Kampung Teluk Gedung iaitu di Selatan Pulau Pangkor mengambil masa selama 15 minit dari Jeti Pulau Pangkor.

(*)Kota yang berusia 324 tahun ini dibina pada tahun 1680 merupakan sebuah kota batu binaan penjajah Belanda iaitu penjajahan pertama Eropah di Perak. Tujuan pembinaannya adalah sebagai sebuah kubu pertahanan bagi mengelak serangan lanun dan penduduk tempatan lain yang memberontak terhadap pemerintahan penjajah Belanda. Terdapat perkhidmatan teksi pelancong yang membawa para pengunjung untuk ke lokasi ini dan juga mengelilingi Pulau Pangkor. Sebanyak 10 orang penumpang mampu dimuatkan untuk setiap perjalanan. Di sini terdapat juga kemudahan kedai cenderamata,dataran,laluan pejalan kaki,dan juga wakaf.

(*)Batu Bersurat
(*)Batu Bersurat  yang terletak di Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor ini berhampiran dengan kawasan rumah nelayan di tepi pantai dan juga berhadapan dengan Kota Belanda. Batu Bersurat tersebut dikatakan menceritakan perihal anak kepada pembesar Belanda yang telah hilang dan dipercayai telah dibaham oleh seekor harimau.

(*)Walaubagaimanapun, menurut penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh orang Belanda untuk menutup malu kerana sebenarnya anak pembesar Belanda tersebut telah dilarikan oleh lanun. Terdapat perkhidmatan teksi pelancong yang membawa para pengunjung untuk ke lokasi ini dan juga mengelilingi Pulau Pangkor. Teksi tersebut dapat memuatkan seramai 10 penumpang pada setiap perjalanan.

(*)Kilang Hai Seng Hin (Kilang Satay)
(*)Siapa yang datang ke Pangkor biasanya wajib singgah ke sini. Merupakan salah satu tempat menarik di Pulau Pangkor,Kilang Hai Seng Hin atau lebih dikenali sebagai Kilang Satay sangat terkenal sebagai kilang pembuatan makanan berasaskan hidupan laut seperti sotong, ikan dan sebagainya. Di sini terdapat juga pelbagai jenis ikan bilis. Semua makanan yang dihasilkan adalah segar.

(*)Pantai Teluk Nipah
(*)Pantai Teluk Nipah adalah merupakan tempat menarik kerana di sini terdapat banyak kedai makan terutamanya kedai ikan bakar, kedai menjual baju dan kedai menjual cenderamata. Malah di sini juga terkenal dengan pelbagai resort penginapan dan tapak-tapak perkhemahan yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas dengan kadar sewa yang berpatutan.

(*)Di sini juga juga merupakan pusat aktiviti permainan air seperti jet ski,kayak, parasailing banana boat,mandi pantai dan sebagainya kerana terdapat banyak batu karang dan hidupan laut di sekitar Pulau Mentangor dan Pulau Giam. Untuk melihat hidupan di dasar laut, snorkeling juga disediakan. Selain itu bagi mereka yang gemar bersiar-siar dengan bot laju,anda  dapat menjelajah dari pulau ke pulau dan menikmati keindahan senja.

(*)Pukat Tarik
(*)Salah satu pengalaman unik yang bakal memberikan kepuasan yang tidak terhingga adalah menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik. Bayangkan betapa seronoknya bersama kawan-kawan menarik pukat di pantai dengan bantuan tekong yang pakar. kemudian anda sama-sama dapat menikmati hasil tangkapan anda mungkin dengan ber ‘BBQ’ di temani deruan ombak.

(*)Lokasi Aktiviti ‘Out door’
(*)Di Teluk Nipah juga penggemar sukan lasak ‘outdoor’ dapat memenuhi minat mereka dengan aktiviti ‘jungle-trekking’, ‘abseiling’ dan ‘repeling’. Antara lokasi yang menarik bagi tujuan ini adalah Bukit Pangkor, Titi Gantung, Air Terjun dan Teluk Segadas.

(*)Kesimpulannya, Pulau Pangkor merupakan tempat percutian yang menyediakan semua  pelbagai jenis aktiviti, laut dan darat, di dalam sebuah pulau. Pastinya anda tak mahu melepaskan peluang untuk bercuti sambil jalan-jalan serta ingin melihat sendiri tempat yang menarik di sana. Bercuti ke Pulau Pangkor memang menyeronokkan, apatah lagi dapat bercuti bersama keluarga tersayang.


EmoticonEmoticon