(**)Rumah bukan sekadar tempat berlindung tetapi juga tempat hati terikat. Kalaulah fungsi rumah hanya untuk pulang dan pergi tidak ada bezanya dengan terminal bas. Kalaulah hanya untuk berkumpul beramai-ramai serupalah macam pasar, hanya bising dan sibuk mencari keperluan sendiri-sendiri. Tetapi jika rumah menjadi tempat penyatuan perasaan, perkongsian suka duka ahli-ahlinya dan tempat merancang impian dunia sampai akhirat sungguh rumah yang sebeginilah yang kita harapkan menjadi syurga.
(**)Rumah yang diidamkan hati yang pilu sebagai tempat menghapuskan resah, rumah yang dihuni bukan oleh manusia saja tapi malaikat yang bersesak-sesak di ruang dan biliknya beristighfar untuk ahli rumah. Rumah yang dituangkan rahmat dari langit kerana doa dan amal soleh penghuninya. Rumah yang dijaga ketat daripada gangguan syaitan dengan ilmu agama yang membentengi jiwa ahlinya.
(**)Membina rumah tangga ternyata bukanlah seindah cerita drama, jika suami isteri masih berperang satu sama lain jangan harap tiang-tiang rumah tangga itu kukuh. Hakikatnya, rumah adalah tempat penyatuan perasaan! Ada satu ruang di dalam al-Quran yang bercerita tentang rumah dan wanita, mengapa hanya wanita yang dimuliakan dalam ayat ini tidak lelaki?
(**)“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dahulu.” (Surah al-Ahzab ayat: 33)
(**)Sememangnya isteri itu tempat kepulangan suami, tempat berlabuhnya hati dan beristirahatnya jiwa suami yang kepenatan, rumah dan isteri menjadi tujuan pencarian suami setelah seharian berjuang. Keindahan akhlak seorang isteri memantulkan aura positif dalam rumahnya. Kelembutan isteri menjangkiti hati suami dan anak-anak, keikhlasannya memekarkan bunga-bunga kasih sayang di taman jiwa ahli keluarga.
(**)Menghidupkan fungsi seorang isteri dan ibu bukannya mudah, apatah lagi jika wanita telah dijangkiti penyakit mementingkan diri sendiri. Ramai yang gagal di rumah tetapi berjaya di alam kerjaya, kejayaan itu tidak mampu membeli kebahagiaan yang hakiki apabila seorang wanita pulang ke rumah yang kosong kasih sayang, kurang perhatian, tiada penghargaan, dan sunyi keintiman. Pulang ke tempat paling dingin, pilu dan sepi bukanlah impian seorang wanita.
(**)Mengapa fungsi seorang ibu dan isteri boleh redup tiba-tiba? Apakah dosa seorang wanita kepada keluarganya mengikut ayat tadi?
(**)Tidak rindukan rumah
(**)Mengapa ayat al-Quran tadi secara jelas mengarahkan para wanita tetap diamlah di rumah kamu semua. Kini ramai wanita yang keluar rumah dan lupa kembali sebagai ibu dan isteri. Mereka kembali sebagai bos atau pekerja yang menghakis sifat-sifat keibuan dan ke’isterian’ dalam diri mereka. Lupa menghargai suami, keras terhadap anak-anak sebagaimana keras kepada pekerja bawahan mereka, emosi kerja ikut dibawa ke rumah sehingga mengganggu fungsi ibu dan isteri dalam diri mereka.
(**)Melainkan jika mereka pulang dengan penuh rasa bersalah kepada suami dan anak kerana tidak sempurna menjaga rumah tangga, berusaha melembutkan jiwa ketika menghadapi kerenah anak, memenuhinya dengan cinta bila bersama suami. Walau besar pangkat dan gaji besar lagi kerinduan mereka pada rumah. Walau mereka sibuk di medan kerjaya tetapi tidak pernah melupakan fungsi ibu dan isteri yang solehah.
(**)Berhias jahiliah
(**)Perhiasan menjadi kegemaran para wanita bahkan mungkin disebabkan terlalu silau mereka lupakan tanggungjawab kepada suami dan anak. Ramai yang sanggup berbelanja untuk kelihatan cantik, tak ramai yang sanggup berhabis untuk menyediakan pendidikan yang baik untuk anak. Kecantikan paras rupa jadi keutamaan sementara kecantikan iman dilupakan, keindahan agama diabaikan dan kesempurnaan akhlak diketepikan demi nafsu kejahilan diri.
(**)Berhias amat digalakkan di dalam rumah dengan aturan yang ditetapkan agama, di luar rumah wanita menjadi fitnah bagi sesiapa yang memandangnya. Rasulullah s.a.w bersabda: “Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga dan tidak dapat mencium bau syurga padahal baunya dapat tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Hadis Muslim)
(**)Tingkah laku jahiliah
(**)Perhiasan telah mendedahkan wanita pada bahaya begitu juga tingkah laku yang kurang malu dan tak segan silu. Seorang isteri wajib menjaga maruahnya di luar rumah dari segi pergaulan, percakapan dan perbuatan. Apabila isteri telah bermaksiat dia akan pulang membawa jangkitan yang serius dari segi fizikal dan mental. Keadaan ini amat mempengaruhi cara layanan kepada anak dan suami, dosa akan membunuh sikap baik anda. Dosa akan menumbuhkan nafsu maksiat yang lain, dosa menjangkiti seluruh isi rumah jika tidak dihalang dengan taubat dan ilmu yang berakar kuat.
(**)Segalanya di tangan anda, wanita yang dipilih Allah menggalas amanah mulia dan dijanjikan syurga. Suami dan anak milik Allah, anda hanya ditugaskan menjaga mereka dan akan ditanya akan tanggungjawab itu di akhirat jua, bersedialah wahai wanita!
EmoticonEmoticon