Wednesday 28 December 2016

Tidak Semua Daripada Kita Sedar Kelebihan Doa Nabi Musa Alahissalam yang pendek ini. [ Wajib Baca!! ]

Tags


#1. "Wahai Tuhanku cerahkanlah hatiku (lapangkan dadaku)"

Nabi Musa a.s. memulakan permintaan kepada Allah agar mencerahkan hatinya dahulu, sebelum pergi masuk ke perkara-perkara lain.

Ini adalah satu neraca kefahaman tarbawi yang seharusnya ditanggapi oleh semua pendakwah, bahawa bekalan utama para pendakwah dalam bertemu masyarakat adalah hati yang hidup dan disirami cahaya Allah.

Bagaimana orang yang mati dan kering hatinya mampu menyirami hati orang lain?

Apakah pula peranan pendakwah kalau bukan membawa hati manusia menuju Pencipta ?

Kita bukan penyampai berita semata-mata, bukan pula pemberi makanan dan kebajikan semata-mata, apatah lagi penyebar fitnah dan namimah.

Kita adalah manusia yang memikul amanah dakwah dan penyambung rantaian perjuangan para anbiya', yang menuntut agar kita menjadi manusia rabbani bagi memikul tugasan yang rabbani ini.

#2. Perkara kedua pula adalah 'mudahkanlah urusanku'. 

Walaupun Nabi Musa a.s adalah orang yang kuat, mampu pula menewaskan hingga terbunuh seorang rakyat Mesir yang merupakan salah seorang pengikut Firaun hanya dengan sekali pukulan, dan berbagai kisah kehebatan Nabi Musa dari sudut fizikalnya, namun baginda fahami bahawa segala kekuatan dan kemudahan adalah daripada Allah SWT.

Doa baginda adalah manifestasi kefahaman asasi dalam beradab dengan Allah.

Sekuat dan sehebat mana pun seseorang jika tidak diizinkan Allah, pasti tidak akan berhasil.

Baginda memahami bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah dalam genggaman Ar-Rahman.

Justeru meminta sesuatu agar dimudahkan adalah satu adab yang tinggi yang mengiktiraf kedudukan manusia sebagai makhluk yang tiada daya dan upaya, serta meletakkan kedudukan Allah pada tempat yang selayaknya.

#3. "Hilangkanlah kepelatan/kekakuan dari lidahku".

Yang ketiga baharulah baginda berbicara perihal teknikal dan kefasihan berkata-kata. Ia adalah pelengkap kepada mesej dakwah yang disampaikan.

Apabila hati sudah hidup, iman sudah terpasak, dakwah akan lebih ditinggikan dengan mesej dan perkataan yang baik dan fasih.

Ramai yang kurang melihat kepentingan perkara ini lalu meninggalkan untuk mempelajari kefasihan berbicara hanya kerana mendakwa risalah ini tidak memerlukan manusia yang pandai berkata-kata.

Ketahuilah bahawa dakwah ini dengan cirinya yang rabbani ia juga adalah syumul dan medannya juga sangat luas.

Ia perlu diletakkan pada tempat yang selayaknya, dengan orang yang selayaknya, dan dihiasi pula dengan lidah manusia yang hebat dan mampu menawan hati para manusia.

#4. "Agar mereka memahami kata-kataku".

Apabila hati sudah disirami cahaya Allah, iman sudah teguh, lidah sudah petah dan lancar, maka mesej dakwah akan 'difahami'.

Ya, difahami. Bukan didengari.

Ini merupakan satu lagi neraca dakwi yang perlu ditanggapi oleh para pendakwah.

Berapa ramai daripada masyarakat sudah pun mendengar seruan dakwah ini ?

Namun berapa ramai pula yang 'faham' dan terkesan lalu mahu mengikut saranan dakwah itu ?

Mungkin ini merupakan salah satu kelemahan kita apabila kita hanya mahu menjadikan mereka 'dengar' lalu kita sampaikan dengan apa cara agar ia sampai ke telinga mereka.

Kita tidak perasan bahawa isunya bukanlah suara yang tidak didengari, tapi isunya adalah hati yang tidak memahami atau tidak dibuka oleh Allah untuk memahami.

Atas sebab itulah doa ini merupakan satu susunan rabbani yang Allah rakamkan dalam Al-Quran, bukan semata-mata pemudah akal kita untuk belajar, tapi guru kita dalam berfikir, menilai, dan beramal.

Demikianlah salah satu daripada jutaan rahsia yang Allah rakamkan dalam wahyu Al-Quran buat petunjuk umat hingga akhir zaman.

Bacalah Al-Quran, perelokkanlah bacaan, tadabburlah maknanya, dan bersihkanlah jiwamu ketika meneliti setiap baris dan ayat di dalamnya.

Hanya kerana, SETIAP ayat yang dibaca oleh lidahmu, adalah pesanan khusus daripada Allah untuk dirimu.

Sumber : Fb Ustaz Nasir


EmoticonEmoticon