Saturday 27 August 2016

Hukum Menghina Orang Meninggal Dunia

Tags


(**)Zaman sekarang kita lihat sudah semakin ramai orang-orang alim atau tok-tok guru yang meninggal dunia. Ini sudah pasti satu kehilangan yang besar pada negara kerana keilmuan mereka yang cukup mantap sejak sekian lama. Tapi kadang-kadang kita sedih apabila ada sesetengah daripada kita yang suka mengata dan menghina orang lain bukan saja ketika mereka hidup, bahkan selepas mereka mati. Adakah ini dibolehkan Ustaz?

JAWAPAN :

(**)Islam melarang kita menyakiti orang yang sudah meninggal sama ada secara fizikal atau dengan kata-kata. Ini jelas dalam satu hadis yang mafhumnya : Rasulullah s.a.w melarang kita dari mencaci orang-orang yang telah meninggal dunia kerana bagi setiap mayat itu ada bahagian baik dan buruk masing-masing di sisi Allah SWT hasil daripada amalan mereka ketika hidup.

(**)Setiap jenazah itu ada kehormatan yang wajib dipelihara. Sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenang membuka aurat mereka kepada khalayak umum ketika proses memandikan atau mengapankan jenazah tersebut.

(**)Kehormatan manusia yang sudah mati mesti dipelihara sebagaimana kita memelihara kehormatan mereka ketika mereka hidup. Perbuatan menghina orang yang telah meninggal dunia adalah perbuatan yang keterlaluan. Kita sepatutnya mendoakan dan menyebut perkara yang baik saja sebagai lambang doa kita terhadap Allah SWT. Itulah sebenarnya yang diajar oleh Islam.

(**)Perbuatan menghina atau mengungkit balik kesalahan si mati ketika hidup adalah cerminan akhlak yang buruk walaupun ia boleh dilakukan oleh orang-orang yang berilmu. Perkara ini mestilah dijaga dan dijauhi.


EmoticonEmoticon