Sunday 27 November 2016

Padah Kahwin Tanpa Restu. Akhirnya Semua Terbongkar & Terpaksa Bercerai

Tags


(**)Memang benar, banyak sangat penderaan yang dirasai oleh isteri kerana sikap suami yang tidak bertanggungjawab.

(**)Saya dan suami berkahwin di sempadan kerana tidak mendapat restu keluarga.  Saya adalah anak sulung dan mempunyai adik-adik yang masih kecil. Jadi, ibu bapa saya banyak bergantung harap pada saya. Mujurlah pekerjaan saya agak baik dengan gaji yang boleh tahan lumayannya.

(**)Semasa berulang alik ke tempat kerja, saya mengenali seorang lelaki. Tidak saya nafikan, saya jatuh cinta kepadanya dan bila saya suarakan untuk mengahwininya, ibu dan ayah membantah. Mereka minta saya membantu keluarga dahulu sekurangnya tiga atau empat tahun. Awalnya saya akur tetapi teman lelaki terus mendesak. Katanya, kalau kami tidak berkahwin sekarang, jodoh saya dengannya mungkin tiada kerana dia memang mahu berkahwin secepat mungkin.

(**)Akhirnya saya memilih berkahwin di sempadan kerana saya tidak sanggup melepaskan teman lelaki. Tapi benarlah kata orang, kahwin tanpa restu keluarga pasti akan jadi porak peranda. Inilah yang saya rasakan kini.

(**)Tiga bulan saja saya bahagia tetapi selepas itu semuanya makan hati. Suami saya seorang penagih dadah dan dia boleh berhenti kerja sesuka hati. Patutlah dia mahu segera berkahwin dengan saya kerana dia tahu apa kerja saya dan pendapatan yang saya dapat setiap bulan. Suami tahu saya boleh menjadi lubuk duitnya dan inilah hal yang membuat hati saya merana.

(**)Pernah separuh daripada duit gaji saya dicurinya untuk membeli dadah dan saya hanya mampu menangis kerana gagal membantu adik-adik di kampung. Ketika itu emak meminta-minta kerana tidak mempunyai wang, sedangkan saya sendiri memang tiada wang di tangan. Terasa menyesal kerana ingkar dan menidakkan kata-kata emak. Mungkin niat emak menghalang itu baik dan saya yang buta dengan cinta.

(**)Enam bulan kahwin, saya disahkan mengandung. Entah bagaimana hendak saya gambarkan keadaan saya ketika itu. Gembirakah, susah hatikah dan berbagai lagi kata-kata muncul di benak.

(**)Jujurnya, kalau diikat dengan cinta saya akan bahagia tetapi memandangkan perangai suami saya jadi sedih. Saya sedih mengenangkan apa nasib anak saya bila dia lahir kelak. Ayahnya seorang penagih dan saya terfikir-fikir adakah nasib rumah tangga kami di masa akan datang?

(**)Bengang dengan sikap suami yang semakin teruk ketagihannya, prestasi kerja saya jatuh merudum sehinggalah dipanggil oleh majikan. Saya mulai berubah kerana saya tahu di bahu saya terpikul segala wang perbelanjaan rumah. Sikap suami sudah tidak boleh diharap dan kerjanya hanya tahu meminta wang sahaja. Kalau tidak diberi, badan saya jadi gantinya. Sayalah tempat suami lepaskan geramnya. Beberapa kali saya cuba mencari jalan penyelesaian dengan suami.

(**)Saya malu untuk mengadu kepada emak kerana dia pernah membantah perkahwinan ini dahulu. Seteruk mana pun perangai suami tetapi bila dia baik, rasa kasihnya kepada saya melimpah ruah dan kata-katanya penuh dengan bunga-bunga cinta. Malah layanannya di bilik tidur juga baik dan semua ini membuatkan saya terkeliru dengan masalah rumah tangga kami. Kalau dahulu saya mampu mengirim sedikit wang kepada emak tetapi kini semakin kurang kerana saya perlu menampung perbelanjaan suami lagi.

(**)Segala yang saya cuba sorokkan dari emak akhirnya terbongkar bila emak dan ayah datang ziarah di rumah. Saya memang terperanjat kerana tidak menyangka yang mereka akan datang. Lebam di badan masih tidak hilang lagi dan ketika itulah semuanya terbongkar. Saya ditanya bertalu-talu dan saya terpaksa memberitahu segala kebenarannya. Memang mak ayah marah dan mula mengungkit segala-galanya. Saya terpaksa pekakkan telinga dan menelan segalanya. Ayah dan mak meminta saya mengikut mereka pulang ke kampung dan bercerai dengan suami. Katanya tak ada gunanya ada suami begini. Apa harus saya lakukan? Saya tak ingin pisang berbuah dua kali. Tidak mendengar cakap orang tua akhirnya saya derita dalam rumah tangga. Patutkah saya bercerai dengan suami yang kaki dadah ini? Bantulah saya.


EmoticonEmoticon