Wednesday 15 June 2016

Tak Perlulah Sampai 'Madukan' Pasangan Anda

Tags


(**)“Saya tujukan lagu ini khas buat suami tersayang yang pada masa ini sedang dalam perjalanan balik dari pejabat  dengan pesanan, sabarlah banyak-banyak ye bang… kalau tersangkut dalam traffic jam tu. Ayang menanti kepulanganmu dengan senyuman buat abang yang tersayang…”



(**)Begitulah pesanan penuh kasih sayang yang sering kita dengar dikirim oleh isteri-isteri untuk suami yang mereka gunakan panggilan ‘suami tersayang’ untuk ditujukan lagu-lagu kegemaran menerusi radio. Bukan di radio sahaja, di mana-mana pun kita biasa dengar panggilan yang seumpama itu, sama ada ‘suami yang tersayang’ ataupun ‘suami yang tercinta’, dan mungkin ada bermacam-macam ‘ter’ lagi yang belum saya kenal pasti. Maklumlah, orang kita memang biasanya sangat kreatif dalam hal yang seumpama ini!



(**)Bukan isteri sahaja, daripada mulut suami pun serupa. ‘Isteri tersayang’ atau ‘isteri tercinta’ … ya, teramat biasa di pendengaran kita.



(**)Akan tetapi, apa yang saya boleh kata, kondisi dan situasinya tidak serupa. Biar saya jelaskan …



(**)Saya tidaklah berasa luar biasa apabila mendengar suami-suami menyebut begitu, tidak seperti tatkala saya mendengarnya daripada isteri-isteri. Sebabnya, jika saya hanya bersandarkan kepada bahasa, pada ungkapan verbal dan mesej yang cuba hendak disampaikan oleh isteri-isteri yang berkenaan daripada apa yang mereka tuturkan, maka wajarlah untuk saya berasa luar biasa, malah mungkin terselit juga rasa curiga.



(**)Sebabnya, dari segi bahasa, perkataan ‘ter’ antara lain bermaksud tidak sengaja.  Misalnya, tersepak, terpegang, tersentuh, atau apa-apa sahaja perkataan yang diimbuhkan dengan ‘ter’. Justeru, apakah ungkapan ‘tersayang’ atau ‘tercinta’ juga bermaksud tidak sengaja sayang atau tidak sengaja cinta?



(**)Oh, teramat kejam bunyinya, bukan?



(**)Itu satu hal.



(**)Dari sisi yang lain pula, ‘ter’ juga adalah bermaksud paling, atau dalam kata lain, maknanya jika dipadankan dengan perkataan sayang atau cinta, akan jadilah ia bermaksud yang paling disayangi atau paling dicintai.



(**)Lalu, apabila seseorang isteri menyebut atau mengungkapkan kepada suaminya sebagai yang tersayang, atau yang tercinta dengan maksud daripada kata-katanya itu adalah yang paling disayangi, atau yang paling dicintai, saya mahu bertanya, sebenarnya berapakah bilangan suami yang dia ada?

(**)Oh, bukankah ini sangat gila maknanya?



(**)Mana mungkin seseorang wanita punya suami yang berbilang-bilang. Tiada hukum yang membenarkan perkahwinan yang seperti itu dalam masyarakat kita, kan?



(**)Jadi, jika dibuat penilaian literal yang seperti ini, makanya mungkin boleh dikira sebagai kurang tepat untuk seseorang isteri atau wanita menggunakan perkataan tersayang atau tercinta kepada suaminya. Apa lagi jika mahu dikata bahawa beliau tidak sengaja untuk menyayangi atau mencintai suaminya. Gila!



(**)Akan tetapi, kalaulah perkataan itu diguna pakai oleh lelaki, ia tidak mencetuskan apa-apa masalah. Ini kerana lelaki sememangnya boleh dan dibenarkan untuk mempunyai berbilang-bilang isteri. Maka apabila beliau menyebut isteri yang tersayang, itu mungkin benar bahawa yang dirujuknya itu adalah isteri yang paling disayangi daripada beberapa isteri, yang sudah tentunya tidak boleh melebihi empat orang bagi seseorang lelaki Islam.



(**)Begitu juga apabila beliau mengungkapkan perkataan, ‘isteri yang tercinta’.



(**)Apa pun, ini hanya lintasan suatu pandangan gila daripada saya. Untuk makna yang setepatnya, rujuklah kepada pakar bahasa. Yang penting, jangan sampai suami anda terasa seperti dimadukan pula!


(**)Penulis: MUHAMAD MAT YAKIM


EmoticonEmoticon