(**)Anda sudah mula berdiet sejak beberapa bulan yang lalu namun berat badan masih tidak berkurangan. Mungkin anda sudah mula berasa putus asa apabila mengenangkan usaha yang dilakukan tidak mendatangkan hasil. Jangan begitu. Cuba renungkan kembali di manakah silap atau kekurangannya. Mungkin ada beberapa perkara yang menjadi penyebab pada kegagalan tersebut. Masih belum terlambat untuk mendapatkan tubuh yang langsing.
(**)Semak beberapa faktor di bawah. Jika anda ada melakukan KESILAPAN ini, hentikannya secepat mungkin.
(**)1. Berlapar
(**)Berlapar merupakan salah satu kesilapan terbesar yang dilakukan ketika berdiet. Mengapa perlu berlapar? Menahan lapar boleh menjadikan anda makan lebih banyak daripada biasa, seterusnya berisiko mengambil kalori yang berlebihan. Cara terbaik jika mahu kurus dan berdiet, makan sahaja seperti biasa. Hanya kurangkan saiz makanan yang diambil. Lebihkan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
(**)2. Minum Soda Diet
(**)Terbaca sahaja perkataan ‘diet’ terus sahaja dicapai minuman tanpa mengambil kira apakah kandungan sebenar yang terdapat di dalamnya. Banyak pengeluar mengubah taktik penggemar minuman berkarbonat dengan menyatakan ia adalah minuman diet soda. Ingat, ia masih mengandungi bahan pemanis dengan kalori tinggi dan anda masih terdedah kepada risiko kegemukan atau penyakit seperti diabetes. Usah mudah terpengaruh dengan taktik yang tentunya boleh menggagalkan misi diet anda.
(**)3. Menyimpan Stok Snek
(**)Jangan simpan makanan ringan di rumah atau lebih baik jika anda tidak membelinya langsung. Jika ada, pastikan anda menyimpannya bukan di tempat yang mudah untuk anda melihatnya. Apa kata anda jadikan buah-buahan tinggi serat sebagai snek gantian. Potong kecil-kecil dan jadikan ia sebagai kudapan sambil menonton televisyen atau ketika anda terasa ingin mengunyah. Ia bukan sahaja menyihatkan, malah membantu anda berasa lebih kenyang dan misi diet pasti tercapai.
(**)4. Cheat Day
(**)Benar, ada kalanya cheat day perlu sebagai hadiah atas kejayaan anda mengawal nafsu makan yang keterlaluan tidak seperti sebelumnya. Walau bagaimanapun ia bukan bermaksud anda boleh makan apa sahaja yang anda mahu tanpa had. Contohnya, makanan kegemaran anda ialah kek coklat. Dalam masa sebulan anda berdiet tanpanya, pilih satu atau dua hari untuk anda menikmatinya dengan jumlah tertentu.
(**)5. Pinggan Besar
(**)Jika anda memilih pinggan yang besar, kebarangkalian anda mengambil makanan lebih banyak juga adalah sangat tinggi dalam usaha untuk memenuhkan pinggan tersebut. Apa kata anda pilih pinggan atau mangkuk yang lebih kecil saiznya? Dengan jumlah makanan yang kecil, anda pasti akan kembali ke tempat duduk dan menikmati apa yang ada di dalamnya.
(**)6. Makan Cepat
(**)Makan dengan cepat bukan sahaja menunjukkan anda seorang yang kurang sopan, malah tabiat ini tidak bagus untuk kesihatan dan diet. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan anda tercekik. Nikmati makanan secara tenang dan perlahan-lahan. Cuba buat kunyahan kira-kira 20 kali kerana ia akan membantu anda berasa lebih relaks dan cepat kenyang. Ambil sedikit masa untuk kunyahan yang seterusnya. Tip mudah, tetapi sering diabaikan.
(**)7. Beraktiviti Sambil Makan
(**)Makan sambil menonton televisyen, menyiapkan tugasan dengan menghadap komputer atau memasak sambil merasa boleh menjadikan anda gemuk. Melakukannya sambil makan boleh membuatkan anda hilang fokus tentang jumlah makanan yang diambil. Anda akan makan lebih banyak makanan tanpa anda sedari. Begitu juga jika anda makan sambil membaca buku atau novel. Kedua-duanya pasti menjadi saling ‘memerlukan’.
(**)8. Malas Berjalan
(**)Disebabkan perasaan malas menguasai diri, seboleh-bolehnya kereta mahu diletakkan di kawasan yang paling hampir dengan pintu masuk atau lif. Apa kata anda ubah kebiasaan itu secara paksa lama-kelamaan ia tentu menjadi kebiasaan. Sematkan dalam fikiran bahawa kerap dan banyak berjalan sangat membantu membakar kalori. Ia diibaratkan sebagai ‘pemacu’ untuk anda kekal langsing dan sihat. Secara tidak langsung, dalam kesibukan dengan aktiviti harian, anda telah melakukan riadah.
(**)9. Ajakan Teman
(**)Saat teman menghulurkan makanan yang enak-enak, cukup sukar untuk menolaknya padahal sudah berazam mahu mengawal jumlah kalori yang diambil. Walaupun selepas waktu makan utama, selera pasti kembali tatkala makanan kegemaran ada di depan mata. Ada pula ‘terpaksa’ makan semata-mata untuk menjaga hati. Tolak sahaja dengan baik, sudah tentu teman anda faham dan tidak mungkin akan berkecil hati. Terangkan juga bahawa anda sedang mengawal pemakanan dan minta mereka berikan kerjasama. Bonus untuk anda jika punya teman yang turut sama mahu berdiet.
(**)10. Kurang Rehat
(**)Lebih tepat jika dikatakan kurang tidur. Tahukah anda tidur yang cukup juga membantu anda mengawal berat badan? Kurangnya rehat atau tidur boleh mempengaruhi hormon penghadaman. Oleh sebab itulah ada kalanya anda berasa sangat lapar pada waktu tengah malam. Usahakan untuk mendapatkan waktu tidur yang mencukupi setiap hari.
EmoticonEmoticon